KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan warga Indonesia terlepas tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman itu dengan penjara 30 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh kekasihnya yang memutuskan hubungan, lima tahun lalu.
Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Harmindar Singh Dhaliwal dan Abdul Karim Abdul Jalil memerintahkan Untung, 42, menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap pada pada 23 Dis 2018.
Dalam menyampaikan penghakiman, Abang Iskandar berkata tiada merit dalam rayuan Untung.
Untung dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 6 Ogos 2020 kerana membunuh Asmaul Chasanah, 28, di tempat letak kereta Masjid Al-Husna di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada jam 10.15 malam, 22 Dis 2018.
Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 6 Okt 2022.Mengikut fakta kes, Untung membeli sebotol racun perosak dan membawa pisau dapur bersamanya dan menunggu mangsa di tempat letak kereta.Dia memberitahu mangsa bahawa dia sedih dan berniat untuk membunuh diri.
Dia kemudian meminum racun dan menikam dirinya sendiri.
Sebaik meninggalkan tempat itu, mangsa mengejek dan menghina kekasihnya dan akibat provokasinya, lelaki itu menikam teman wanitanya yang berdiri dihadapannya.
Peguam Gooi Soon Seng dan Lim Wei Qi mewakili Untung manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee. – FMT