Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ini bagi memastikan peniaga di kawasan tersebut tidak mengalami nasib seperti perniagaan di Petaling Street yang kurang menerima pengunjung.
“Saya harap peniaga tidak mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga yang tinggi terhadap pelancong demi menjaga imej negara dan Jalan Alor itu sendiri.
“Hal ini kerana kita mahukan pelancong ulang datang ke sini lagi di masa akan datang. Mereka merupakan duta kecil negara kita apabila mereka pulang ke negara asal mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Bukit Bintang, di sini Ahad malam.
Turut hadir Timbalannya Datuk Dr Loga Bala Mohan; Datuk Bandar, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Adnan Md Ikshan.
Tengku Adnan mengharapkan program anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan itu dapat mengukuhkan hubungan akrab dan meningkatkan semangat kebersamaan antara masyarakat pelbagai kaum.
Acara yang dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan tarian singa dan muzik jalanan itu dikunjungi lebih 3,000 warga kota termasuk pelancong asing.
Bersempena program tersebut, turut diadakan aktiviti gotong-royong kebersihan dan cegah denggi bersama komuniti Bukit Bintang yang bertemakan ‘Bebas Denggi Masyarakat Ceria’ bagi membangkitkan kesedaran masyarakat tentang bahaya ancaman nyamuk aedes. – Bernama