Dalam operasi kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, sekumpulan anggota JKDM Pulau Pinang menyamar sebagai pelanggan restoran yang terletak di Pusat Perniagaan Maju, Jalan Maju bagi memantau aktiviti perniagaan restoran yang beroperasi 24 jam itu.
Penolong Pengarah (Unit Pengesanan Pendaftaran GST) JKDM Pulau Pinang, Mohd. Imran Mohd. Roslan berkata, hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan mendapati restoran itu gagal menyerahkan penyata GST sejak awal tahun ini.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada pengusaha restoran yang berusia lingkungan 40-an itu cuba mengelak daripada membayar cukai.
“Pengusaha restoran itu memberi alasan akauntan mereka baharu meninggal dunia dan sebab itu mereka gagal menyerahkan penyata GST.
Namun ia (alasan) tidak dapat diterima kerana pengusahanya gagal berbuat demikian sejak Januari tahun ini.
“Lagipun setiap syarikat yang berdaftar dengan JKDM untuk mematuhi pelaksanaan GST perlu mengemukakan penyata GST setiap tiga bulan,” kata Mohd. Imran kepada pemberita selepas operasi itu di Bukit Mertajam pada Selasa.
Menurutnya, restoran itu mendaftar dengan JKDM untuk mematuhi pelaksanaan GST namun sejak Januari lepas pengusahanya gagal menyerahkan penyata GST kepada kastam.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta GST 2014 dan jika sabit kesalahan, pengusahanya boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.- Bernama