Tarikh tersebut ditetapkan hari ini semasa sebutan kes itu di hadapan Pendaftar, Atrasina Mohd. Zahrullail.
Peguam syarie, Mohd. Syafiq Norizan yang mewakili Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, berkata, pada peringkat ini, pihaknya akan melengkapkan proses afidavit-afidavit saksi.
“Kita telah memasukkan satu nama saksi dan pada tarikh itu, kita akan memasukkan beberapa lagi afidavit keterangan saksi,” katanya, dengan memetik laporan Utusan Malaysia.
Dalam prosiding pada Selasa, Awie tidak hadir ke mahkamah.
Pada 3 Februari lalu, Awie memfailkan permohonan pengesahan nikah secara poligami berikutan sewaktu bernikah dengan Rozana Misbun pada 20 Jun 2005, dia masih berstatus suami kepada penyanyi, Arni Nazira yang terkenal dengan lagu Cinta Antara Benua.
Awie turut menyatakan bahawa Rozana adalah isterinya yang sah.
Pelakon utama filem Sembilu itu bernikah dengan Arni pada 10 Disember 1998 dan disahkan bercerai oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 16 Oktober 2006.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan dua anak perempuan, Puteri Aleeya Antasha, 16, dan Puteri Aleefa Antasha, 14, yang kini di bawah jagaan Awie.
Menurut afidavit penyanyi kumpulan Wings itu, beliau bernikah dengan Rozana, 38, di Songkhla dengan mas kahwin RM360 dan disaksikan oleh dua saksi warga Thailand dan beberapa kenalannya.
Walaupun tidak membantah permohonan itu, Rozana melalui afidavit jawapannya bertarikh 13 Mei lalu menimbulkan isu perbezaan nama jurunikah yang dinyatakan oleh penyanyi tersebut dalam dokumen permohonannya dengan bukti sokongan iaitu Surat Pengesahan Ketulenan Sijil Nikah dari Konsulat Jeneral Malaysia di Thailand.
Awie dan Rozana dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.