Pengguna, peniaga makin faham dan terima GST

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata biarpun pada awalnya berdepan cabaran, pelaksanaan GST terbukti semakin lancar dengan tahap pematuhan peniaga bagi penyerahan penyata taksiran pertama (penyata GST-03) lebih 95 peratus.

“Ini satu petanda baik dan kita harap ianya berlanjutan. Jika dibandingkan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), ada yang sebegitu liat (kemukakan penyata).

“Secara keseluruhannya, jika skala penuh pelaksanaan GST adalah 10, kita berada di tahap 8.5 hingga 9,” katanya selepas melancarkan peraduan ‘Jom Minta Resit GST – Resit Anda Hak Anda,’ di sini, semalam.

Khazali turut optimis kutipan bersih GST bagi 2016 yang diunjurkan mencecah RM39 bilion, mampu dicapai seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum ini.

Mengulas masalah dihadapi JKDM, beliau berkata cabaran terbesar adalah memberi kefahaman kepada peniaga dan pengguna mengenai GST.

“Sebahagian perniagaan tidak bertanggungjawab seolah-olah tidak mahu memahami sistem GST dengan baik hinggakan mengelak daripada mengenakan caj GST atas alasan takut kehilangan pelanggan.

“Ada juga banyak kesilapan seperti penyata dikemukakan peniaga tidak betul,” katanya, menambah masalah teknikal termasuk isu pembayaran kredit cukai input GST.

Beliau juga mengakui kesukaran JKDM memenuhi piagam pembayaran dalam tempoh 14 hari daripada tarikh tuntutan yang dikemukakan kerana perlu menyemak banyak perkara sebelum membuat keputusan bagi pembayaran balik.

“Hari ini, isu itu dapat ditangani dan 30 peratus dapat dibayar balik dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Khazali berkata, bagi masa depan, JKDM akan terus memberi penerangan kepada pengguna dan peniaga termasuk penjelasan isu teknikal berkaitan industri atau sektor tertentu.

Mengulas peraduan ‘Jom Minta Resit’, beliau berkata program pemberian insentif itu bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan amalan meminta serta menyimpan resit GST.

Ia juga bertujuan meningkatkan tahap pematuhan peniaga terhadap kewajipan mengeluarkan resit selaras peruntukan di bawah Seksyen 33, 34 dan 36 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014, selain menghapuskan masalah seperti aktiviti pasaran haram.

Peraduan bermula esok sehingga 31 Julai depan, menawarkan 2,876 hadiah termasuk sebuah motosikal, telefon pintar serta barangan elektrik dan terbuka kepada pengguna yang memperolehi resit bercukai GST.

Pengguna perlu melayari laman sesawang www.myresitgst.com.my atau memuat turun aplikasi mudah alih MyResitGST dan mengisi maklumat peribadi serta resit dan memuatnaik gambar resit pada borang penyertaan.

Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Panggilan Kastam di talian 1-300-888-500 bagi maklumat lanjut.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia