Walaupun tiada bukti sahih yang menunjukkan bahawa mempunyai tiang utiliti sendiri dan bekalan elektrik yang cukup akan memberikan kualiti bunyi yang bagus, namun audiofil ini tetap bertegas bahawa ianya sangat penting untuk pengalaman audio sepenuhnya.
“Elektrik adalah seperti darah. Jika ia tercemar, seluruh badan akan jatuh sakit. Tidak kira berapa mahal sekalipun peralatan audio, ianya tidak bermakna jika darah itu tidak baik,” kata Takeo Morita kepada Wall Street Journal.
Beliau baru-baru ini membayar sekitar $10,000 untuk memiliki tiang utiliti konkrit yang dipasang di kawasan rumah beliau. Ia dilengkapi dengan transformer peribadi, yang menggunakan kuasa terus dari grid.
Memasang tiang utiliti peribadi mungkin kedengaran melampau dan seperti pembaziran wang kepada kebanyakan orang, tetapi bagi audiofil Jepun, isu ini serius bagi mereka. Kebanyakan mereka merasakan bahawa berkongsi tiang elektrik dengan jiran bermakna berhadapan dengan gangguan elektrik. Tiang elektrik peribadi mampu menyelesaikan masalah tersebut dengan membuat bunyi muzik lebih baik.
Yukio Yoshihara yang berusia 62 tahun selalu berfikir sistem audio mahal beliau mempunyai bunyi lebih baik pada waktu malam, apabila jiran tidak menggunakan peralatan mereka.
Jadi beliau meminta seorang juruelektrik untuk menilai kualiti kuasa di dalam rumahnya, dan selepas itu dia tahu dia perlu melabur dalam tiang utiliti peribadi.
“Saya dapat tahu betapa tercemarnya bekalan kuasa elektrik saya,” katanya yang terpaksa membayar $40,000 untuk kelengkapan tersebut, lengkap dengan panel pemutus litar baru dan pendawaian.