Pengerusi Petra Group, Vinod Sekhar disaman

KUALA LUMPUR: Pengerusi Petra Group, Datuk Vinod Sekhar dan isterinya, Winy Yeap disaman sekumpulan bekas pekerja dan pelabur pelbagai negara atas dakwaan penipuan, salah nyata, pelanggaran kontrak dan pengakuan hutang.

Peguam kepada plaintif berkata mereka mungkin akan memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai saksi.

“Anak guam saya telah mengarahkan saya untuk menghubungi setiap individu yang dinamakan dalam tindakan undang-undang untuk hadir memberi keterangan semasa pendengaran di Mahkamah Tinggi, dan mungkin termasuk Anwar,” kata peguam Colin Andrew Pereira dalam kenyataan semalam.

Firma guaman Messrs Goh Wong Pereira berkata plaintif mendakwa Vinod tidak mendedahkan dia telah muflis ketika melobi untuk mendapat pelaburan mereka.

“Plaintif daripada seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Panama, United Kingdom, Dubai dan Thailand, mendakwa Vinod memujuk mereka untuk melabur dalam perniagaan Green Rubber, namun tidak memaklumkan mereka berkenaan status muflisnya ketika itu.

“Dalam dokumen yang diserahkan kepada Mahkamah Tinggi, plaintif mendakwa Vinod memberi jaminan yang (individu bernama) ‘Anwar’, difahami merujuk kepada Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, akan menyelesaikan sebarang isu berkaitan status muflisnya,” katanya.

Firma itu turut memaklumkan Mahkamah Tinggi pada Disember lalu telah menolak permohonan perintah larang suara (gag order) yang dimohon Vinod.

Plaintif menuntut ganti rugi bawah RM30 juta, termasuk faedah.

Vinod sebelum ini pernah menyatakan dia sudah lama bersahabat dengan Anwar. Ini bukan kali pertama Vinod berdepan masalah undang-undang berkaitan syarikat Green Rubber Global.

Pada 2008, pelakon Hollywood Bruce Willis menyaman syarikat itu, yang merupakan subsidiari Petra Group, dan pengerusinya ketika itu, Tunku Imran Tuanku Ja’afar dan menuntut pelaburannya dipulangkan.

Vinod dikatakan telah meyakinkan Willis untuk melabur.

Pada 2019, seorang warga Ireland turut memfailkan saman bagi merampas aset ahli perniagaan itu.

Selain perniagaan getah, Vinod dan Petra Group juga terlibat dalam industri media di Malaysia. -Malaysiakini

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia