Ahli Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi ke-2 Felda, Datuk Zulkefli Nordin berkata demikian yang mana salah satu masalahnya ialah mengapa Felda Technoplant (FTP) mengambil masa lama untuk mengeluarkan penyata hutang peneroka.
“Sejak mengambil alih pengurusan ladang pada 2005, FTP tidak pernah menyerahkan penyata hutang kepada peneroka sehingga timbul desakan pada 2016, barulah penyata hutang dikeluarkan.
“Namun begitu penyata hutang yang dikeluarkan itu tidak mempunyai butiran lengkap, malah amat meragukan,” katanya.
Semalam Isa dilaporkan berkata Felda akan menyelesaikan masalah penyata kewangan peneroka di beberapa wilayah selewat-lewatnya penghujung September ini.
Beliau turut dilaporkan berkata, Felda menyedari masalah dihadapi peneroka dan sedang berusaha menyelesaikannya secara menyeluruh.
Sementara itu Zulkefli berkata, FTP sepatutnya menyerahkan penyata hutang kepada peneroka setiap tiga bulan sekali seperti dalam Perjanjian Peneroka bersama FTP.
“Dalam satu pertemuan dengan FTP baru-baru ini, kami dimaklumkan penyata hutang 2005 hingga 2008 tidak dapat dikesan. FTP pula mahu hutang sepanjang tahun tersebut dikira secara ‘pukul rata’. Sudah tentu kami bantah keputusan tersebut,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa FTP mengenakan kadar faedah 6.25 peratus sedangkan dalam perjanjian, hanya 4 peratus sahaja.
“Sehingga kini pertanyaan kami tidak dijawab,” katanya.
Zulkefli berkata, pengurusan ladang yang tidak cekap oleh FTP telah menyebabkan ladang tidak mengeluarkan hasil yang sepatutnya.
“Ladang sawit seluas 10 ekar sepatutnya menyara kehidupan peneroka tetapi apa yang dihadapi peneroka sekarang ialah penambahan hutang setiap tahun sehingga mencecah RM200,000,” katanya.
Oleh yang demikian katanya, peneroka berharap Isa dapat menyelasaikan segala permasalahan yang timbul dengan baik harmoni demi masa depan peneroka dan Felda sendiri.