BALIK PULAU: Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang budak berusia enam tahun pada Ogos 2023.
Tertuduh, Mohamad Hafiz Aznan, 30, membuat pengakuan itu sebaik jurubahasa selesai membaca pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh menyuruh seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia enam tahun menggigit kemaluannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pondok pengawal Taman Saujana Damai, Bayan Lepas di sini, jam 6.20 petang pada 25 Ogos 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala tiada peguam mewakili tertuduh.
Ketika prosiding, Jin Hong tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan tersebut adalah tidak boleh dijamin.
Hakim Ahzal Fariz kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mei depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette