Peguam Hak Asasi Manusia, Siti Zabedah Kasim berkata dirinya tidak lagi mahu mengunjungi syarikat berkenaan di masa akan datang kerana tingkah laku mereka seperti ‘polis yang bermoral’. Di samping itu, CEO syarikat tersebut mendakwa tindakan melarang lelaki dan wanita duduk sekali adalah bagi melindungi wanita daripada diganggu kerana ‘keselamatan penumpang adalah pertimbangan utama’.
MP Seputeh, Teresa Kok bagaimanapun menyatakan pengalaman menaiki bas ekspres semasa zaman persekolahan dulu ‘cenderung’ menyokong langkah mengasingkan tempat duduk berkenaan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, keadaan sosial di negara kita sudah semakin menghampiri Islamisasi contohnya isu kek halal di McDonalds, kapal terbang patuh syariah, troli halal dan isu ‘hotdog’ sehingga menyentuh sensitiviti orang bukan Islam.
Hari ini, selepas pengumuman langkah ‘lelaki dan wanita duduk berasingan’, apa yang terlebih dahulu keluar daripada respons orang ramai bukanlah dari perspektif perbezaan jantina, sebaliknya mendapati syarikat bas ekspres berkenaan mahu ‘menghampiri’ Islamisasi. Penulis cenderung berpendapat langkah syarikat bas ekspres tersebut akan terjejas dengan konsep pembahagian jantina.
Pendirian syarikat bas ekspres dan Teresa Kok mengenai pengasingan kerusi adalah untuk memastikan golongan wanita dilindungi. Syarikat beranggapan pengasingan lelaki daripada wanita adalah satu bentuk perlindungan terhadap wanita.
Teresa Kok yang membuat komen bagi pihak penumpang wanita juga merasakan tindakan sedemikian akan membuatkan penumpang lebih selesa. Pandangan yang dibuat mereka seolah-lah beranggapan bahawa wanita adalah kumpulan yang mudah disakiti termasuklah dari segi fizikal seperti bertubuh badan kecil, tiada kekuatan, atau secara psikologinya lebih pemalu. Jadi, golongan wanita perlu mendapat perlindungan dan penjagaan daripada ibu bapa.
Apakah maksud persoalan di atas, adakah hanya lelaki yang menjadi pemangsa dan wanita selama-lamanya jadi mangsa? Dengan pelaksanaan langkah syarikat berkenaan, pengasingan lelaki dan wanita hanya akan terus melabelkan wanita sebagai ‘lemah’ manakala orang lelaki sebagai ‘pemangsa’. Biar perbezaan jantina ini bertambah stereotaip dan hasilnya ialah pemerintah yang akan terus berada pada takuk lama. – Oriental Daily