Penganggur Kena Penjara, Sebatan Selepas Mengaku Salah Raba, Cium Anak Jiran

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak jirannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Besi.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohamad Zulkhairi Rosli, 22, telah menukar pengakuannya kepada bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah juga memerintahkan lelaki bujang terbabit menjalani hukuman penjara bermula 3 Ogos tahun lalu iaitu dari tarikh tangkapan dibuat.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Zulkhairi didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan mencium pipi dan meraba seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun empat bulan bagi tujuan seksual.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tangga tingkat 11 di sebuah PPR di Sungai Besi pukul 3.30 petang pada 25 Jun 2022.Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes iaitu Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman penjara dan sebat sebagai pengajaran dengan mengambil kira mangsa berusia lapan tahun.

Sementara, tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam merayu kepada mahkamah agar dikenakan hukuman yang ringan.

Berdasarkan fakta kes, seorang wanita berusia 28 tahun yang juga ibu mangsa mendapati anak perempuannya masuk ke dalam rumah dalam keadaan tergesa-gesa dan ketakutan dalam kejadian di PPR Sungai Besi.

Mangsa kemudian memaklumkan kepada ibunya seorang lelaki tidak dikenali memanggilnya ke arah tangga sebelum terus mencium pipi dan merabanya.

Mangsa yang terkejut dan takut terus menolak lelaki itu dan berjaya melarikan diri sebelum ibu mangsa tampil membuat laporan polis.- MalaysiaGazette

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia