Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Mukim Tanjung Pauh, Azman Mohamad bagaimanapun berkata penduduk menyangka bau busuk itu adalah bangkai haiwan dan tidak mengesyaki empat mayat dihumban di dalam semak-samun di jalan berkenaan.
“Selepas kejadian itu, masing-masing memberitahu takut untuk melalui jalan tersebut yang dipenuhi semak-samun dan agak gelap pada waktu malam kerana hanya ada sebatang tiang lampu jalan di situ.
“Apatah lagi ia bukan membabitkan satu mayat tetapi empat mayat ditemui sekaligus di tempat yang sama,” katanya ketika ditemui Bernama di Bachok, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira 6.35 petang Ahad, penduduk Kampung Hilir Tanjung, Bekelam, digemparkan dengan penemuan empat mayat yang dicampak ke dalam semak berhampiran jalan kampung itu.
Kesemua mangsa dalam lingkungan antara 20 dan 30 tahun itu dipercayai telah meninggal dunia sekurang-kurangnya tiga hari lalu.
Sementara itu, Imam Masjid Kampung Tualang Salak, Zulkifli Abdullah, 41, berkata, beliau bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada seorang rakannya Hisyamuddin Wan Mohamad, 45, pada 6.30 petang yang merupakan saksi pertama kejadian.
“Sampai di tempat kejadian, saya melihat semua badan mangsa yang lengkap berpakaian sudah menggelembung, pecah perut dan muka tidak dapat dikenali.
“Hisyamuddin memberitahu, dia bersama tiga lagi rakannya menemui mayat tersebut kira-kira 6.15 petang selepas melakukan kerja menuai padi. Ketika dalam perjalanan pulang mereka menghidu bau busuk sebelum menemui empat mayat itu,” katanya. – Bernama