Penduduk Lendu jumpa tulang, tengkorak dalam kebun

Tulang dan tengkorak manusia itu ditemui oleh seorang pemotong rumput yang sedang membersihkan kawasan kebun itu sebelum dimaklumkan kepada penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden A. Asmadi Abd. Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan tersebut kira-kira pukul 2 petang.

Menurutnya, sepasukan polis kemudian pergi ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan dan menemui satu tengkorak dan beberapa bahagian tulang dipercayai betis dan bahu manusia.

“Polis bagaimanapun tidak menemui objek lain atau sebarang pengenalan diri di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 500 meter dari jalan besar Lendu-Alor Gajah,” katanya, memetik laporan Utusan Online.

Jelas A. Asmadi, mangsa yang masih tidak diketahui jantinanya itu dipercayai telah lama meninggal dunia berdasarkan keadaan tulang.

Jelas beliau, pihaknya juga sedang mengesan pemilik kebun berkenaan dipercayai milik seorang wanita yang kini menetap di Nilai, Negeri Sembilan bagi membantu siasatan.

“Tulang dan tengkorak itu kemudian dihantar ke Hospital Melaka di sini untuk tindakan lanjut dan polis turut menjalankan semakan atas laporan orang hilang bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia dimaklumkan mengenai penemuan tengkorak dan tulang itu daripada anaknya yang bekerja sebagai penjaga lembu.

“Saya mula-mula tak percaya ada tulang dan tengkorak sebab menyangka ia mungkin rangka haiwan. Tiba-tiba ada sepasukan polis datang dan siasat tempat itu,” katanya.

Dalam pada itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu atau kehilangan ahli keluarga untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Alor Gajah atau hubungi 06- 556 2222 bagi membantu siasatan.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap