Isu hakcipta: TV3 hormati penarikan ‘Hidup Dalam Mati’

Pengurus Hiburan Primeworks Studios, Mohamad Sufian Isa berkata, pihaknya menerima surat penarikan lagu nyanyian Syamel itu pada Rabu lalu atas alasan tertentu.

“Selepas menerima surat (penarikan diri) mereka kami selaku penganjur berbincang mengenai perkara itu dan menghormati keputusan mereka.

“Dalam surat itu mereka mengemukakan alasan-alasan yang boleh diterima yang mungkin disebabkan hal-hal dalaman,” katanya, memetik mStar Online.

Sufian ditemui pada sidang media SFMM31 minggu kedua yang mengumumkan 12 lagu mara ke Anugerah Juara Lagu (AJL) 31 yang akan diadakan pada Januari tahun depan.

Kontroversi lagu itu tercetus minggu ini apabila karya itu dipercayai diciplak daripada lagu berjudul Ku Kejar Bayang Mu ciptaan Ayai (Ilusi) yang dinyanyikan oleh finalis Kilauan Emas 3 iaitu Idris.

Susulan itu, Syamel mahu pun komposer Edry Abdul Halim yang bertanggungjawab sebagai penerbit Hidup Dalam Mati bertindak berdiam diri sehinggalah mengejutkan umum apabila lagu itu tidak dipertandingkan pada SFMM31.

Pendedahan Ayai itu mengejutkan sekali memandangkan melodi dan ciptaan asal Hidup Dalam Mati sebelum ini dianggap oleh peminat sebagai milik Syamel yang turut menulis lirik lagu berkenaan.

Syamel dan Edry tidak dapat dihubungi kerana kedua-duanya mematikan telefon masing-masing.

Sementara itu, Syamel sebelum ini juga ada memuat naik gambar dengan kapsyen yang telah mengundang pelbagai spekulasi dan respon daripada peminat.

“Terima kasih. Saya sayang anda semua dan saya minta maaf,” kata Syamel menerusi status terbaharunya dalam Instagram.

Related posts

Jaafar Onn Meninggal Dunia

Lil John Mendapat Hidayah di Bulan Puasa

Selain solat dan puasa, Lindsay Lohan akui tenang baca al-Quran