Penamaan calon 82 kerusi hari ini

Barisan Nasional (BN) yang diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan bertanding di semua 82 kerusi dengan misi mereka kekal sebagai kerajaan negeri berbekalkan majoriti besar.

Pada 14 April lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon ialah pada 25 April 2016 manakala hari mengundi pada 7 Mei 2016 dan 3 Mei sebagai hari mengundi awal.

DUN Sarawak yang sebelum ini terdiri daripada 71 kerusi dibubarkan pada 11 April 2016. Sebelas kerusi baharu ialah Batu Kitang, Stakan, Serembu, Bukit Semuja, Gedong, Kabong, Tellian, Bukit Goram, Murum, Samalaju dan Mulu.

BN menyelesaikan persoalan mengenai calon pada 18 April apabila semua calon daripada parti-parti komponen dan calon langsung diumumkan pada tarikh tersebut.

Selain meletakkan calon daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di 40 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 13, Parti Rakyat Sarawak (PRS) 11 dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) lima, BN kali ini akan menyaksikan calon langsung paling ramai iaitu 13 orang.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) setakat semalam telah mengumumkan 35 calon daripada 40 kerusi yang ingin ditandinginya manakala Parti Tindakan Demokratik (DAP) mendedahkan 29 nama calon daripada 30 kerusi yang dihajati.

Parti Amanah Negara (Amanah) akan bertanding di 13 kerusi, dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bakal bertarung di 11 kerusi.

Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) sekurang-kurangnya bertanding di 12 kerusi manakala Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru dijangka bertanding di lima kerusi.

Adenan, berdasarkan hasil kajian pada Januari 2016 Merdeka Center yang disiarkan di laman web mereka pada 19 April, didapati 81 peratus respondennya berpuas hati dengan prestasi Ketua Menteri itu.

Angka itu merupakan peningkatan daripada 71 peratus diperolehi menerusi kajian sebelum ini pada April 2015.

“Tujuh puluh lima peratus daripada responden dalam kajian sama setuju Ketua Menteri Adenan telah membawa perubahan ketara terhadap Sarawak sejak mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada Februari 2014,” kata kajian itu.

Populariti Adenan melonjak naik apabila beliau melaksanakan 53 prinsip dan tindakan dalam tempoh lebih dua tahun menjadi Ketua Menteri.

Antara tindakan itu ialah mengurangkan tarif elektrik, menghapuskan tol jambatan, memansuhkan cukai tanah pertanian dan menuntut hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Populariti tinggi Adenan itu seolah-olah memberi amaran kepada parti-parti pembangkang agar berusaha lebih gigih untuk menafikan majoriti kemenangan lebih besar berpihak kepada BN.

Adenan, 72, yang meminta beliau diberi peluang lima tahun lagi sebelum bersara akan mempertahankan kerusi DUN Tanjong Datu.

Parti-parti pembangkang pula dijangka antara lain akan membangkitkan isu pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan kos sara hidup dan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Sementara itu, SPR memberitahu bahawa sejumlah 971 borang pencalonan dijual.

Kempen pilihan raya akan bermula sebaik selesai penamaan calon hari ini sehingga tengah malam 6 Mei 2016.

Jumlah pengundi berdaftar bagi PRN11 ialah 1,138,650 orang. Daripada bilangan itu, pengundi dalam lingkungan 40 hingga 49 tahun merupakan paling ramai iaitu 23.64 peratus.

Related posts

PRN Sarawak ke-11 telan belanja RM135.6 juta

Itu hak Adenan – Masing

Nazri umum peruntukan RM210,000 untuk 41 ranting PBB Pantai Damai