KUALA LUMPUR: Nasib seorang pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO di satu bahagian di Johor yang berdepan tuduhan membabitkan kes jenayah seksual akan ditentukan selewat-lewatnya sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Akmal Saleh akan membawa usul itu pada mesyuarat biro pengurusan parti supaya individu terbabit digantung serta-merta.
“Saya pun sudah bawa perkara ini dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tadi tentang isu ini dan kita sudah setuju untuk bawa perkara ini dalam tindakan disiplin dan akan dibawa dalam mesyuarat pengurusan untuk kita tengok apakah tindakan.
“Kita minta tindakan yang keras, mungkin kita gantung dulu sementara tunggu pembelaan dan pendakwaan dan dibukti bersalah, kita tak kompromi isu jenayah,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Sebelum ini, individu terbabit ditahan reman tiga hari untuk siasatan kes liwat dua remaja lelaki berusia 15 tahun.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani mengesahkan tangkapan lelaki berusia 36 tahun itu namun enggan mengulas lanjut. – MalaysiaGazette