Pemuda UMNO hanya mahu pertahan Melayu, kata Ismail Sabri

Kata Ismail, tindakan Pemuda UMNO itu merupakan respon balas bagi mempertahankan maruah dan integriti orang Melayu selepas ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming menghina sambutan Aidilfitri dengan menyamakan pemberian duit raya dengan duit rasuah.

“Semalam adalah salah satu contoh reaksi daripada kenyataan yang dibuat Nga. Jadi tak boleh salah Pemuda UMNO sebab tugas mereka adalah mempertahankan integriti dan juga mempertahankan maruah orang Melayu yang rasa terhina.

“Saya pun rasa terhina kalau kata anak kita makan dedak. Dedak itu makanan itik dan ayam, jadi kita dah samakan anak-anak yang terima duit raya sama dengan itik dan ayam mestilah kita marah,” kata Ismail pada sidang medianya di Putrajaya, pada Rabu.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dalam sidang media berasingan turut sependapat dengan Ismail bahasa beban kesalahan terletak pada Kor Ming yang tidak sensitif dengan budaya Melayu sehingga menimbulkan kemarahan orang Islam.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Padang Rengas itu merasakan tindakan Pemuda UMNO berhimpun dan melemparkan ‘duit neraka’ semalam tidak betul.

“Dua kesalahan tidak membetulkan sesuatu,” katanya.

Pada 6 Julai lalu, Kor Ming dalam ucapan Aidilfitri menyiarkan karikatur kanak-kanak dan tetamu menerima sedekah duit raya dan menyamakannnya sebagai rasuah dan ‘dedak’.

Posting itu kemudiannya dikeluarkan dari laman Facebooknya.

Nga juga mengundang masalah apabila memuat naik gambar yang berlatar belakangkan rumah api dan bendera Amerika Syarikat dalam ucapan Aidilfitri.

“Sebagai Ahli Parlimen beliau perlu lebih bertanggungjawab dengan apa yang beliau perkatakan,” kata Nazri.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri