SHAH ALAM: Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh mendesak supaya perdana menteri memecat Menteri Pelancongan Tiong King Sing berikutan beberapa isu baru-baru ini.
Akmal berkata ini termasuk hidangan berasaskan babi bak kut teh yang dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara, serta penurunan pangkat ketua pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Ammar Abd Ghapar.
“Sudah tiba masanya kita mohon agar PMX (Anwar Ibrahim) untuk pecat sahaja menteri. Kerana jika KP pelancongan diturunkan pangkat sebab prestasi merosot, maka alasan yang sama boleh digunakan kepada menteri yang bukan sahaja merosot, tetapi menteri yang paling teruk dalam sejarah
“Menteri kong ka li kong lebih baik letak jawatan,” tegasnya pada satu kenyataan hari ini.
“Daripada mengiktiraf bak kut teh menjadi hidangan warisan negara lebih baik mengiktiraf makanan lain seperti nasi goreng Cina dan banyak lagi makanan yang boleh dimakan oleh semua rakyat di negara ini tidak kira kaum mahupun agama.
“Jika menteri tidak boleh nak berfikir sensitiviti rakyat Malaysia dan apakah relevannya dalam membuat keputusan,” kata Akmal lagi.
Tiong menjadi tumpuan minggu lalu selepas Ammar mengesahkan dia menerima surat memaklumkan bahawa dirinya bukan lagi ketua pengarah agensi kerajaan itu, berkuat kuasa 26 Feb (Isnin).
Tiong kemudian menjelaskan Ammar diturunkan pangkat sebagai timbalan ketua pengarah kerana tidak dapat melaksanakan tugas yang diberikan untuk menarik pelancong ke negara ini.
Susulan isu berkaitan Ammar, media melaporkan bak kut teh telah diwartakan sebagai makanan warisan, bersama-sama dengan burasak dan uthappam. -Malaysiakini