KLANG: Seorang pemuda maut, dipercayai digilis kereta api di Pelabuhan Utara, dekat sini.
Mayat ditemukan di tepi landasan berhadapan kilang di Jalan Pelabuhan Utara dengan kecederaan di bawah paras lutut kedua-dua kaki.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat berkenaan sekitar 11.35 pagi Rabu lalu.
Katanya, mayat lelaki tanpa identiti itu sebelumnya ditemukan oleh penduduk tempatan yang kemudian melaporkannya kepada polis.
“Mangsa adalah lelaki warga asing berusia 19 tahun. Polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketika ditemukan, katanya, mangsa tidak berbaju, hanya memakai seluar panjang dan mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, untuk bedah siasat.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan. –Berita Harian Online