SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen Miri hari ini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau enam bulan penjara ke atas pempengaruh media sosial Ryzal ‘Duriankimchi’ atau nama sebenarnya Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim kerana mempersendakan busana tradisional wanita Iban, ‘ngepan indu’.
Utusan Borneo Online memetik Hakim Azreena Aziz sebagai berkata hukuman itu dibuat setelah meneliti semua aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, serta mengambil kira kepentingan awam.
Tertuduh yang berusia 31 itu yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) (ii) Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 (Akta 588). Tambahan dia telah berkahwin dan mempunyai seorang anak dan anak guamnya amat menyesal di atas kesalahan yang telah dilakukannya itu.
Peguam bela Firdaus Morshidi yang mewakili Nik Muhammad Rizal memohon agar hukuman ke atas anak guamnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.
Seksyen 233 (3) akta yang sama memperuntukan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pihak pendakwa memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai peringatan atau pengajaran kepada masyarakat di luar sana agar tidak melakukan kesalahan serupa.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Fillanny Siji dan dibantu TPR Ahmad Ihsan Jalalludin.
Menurut mereka, tindakan tertuduh yang tidak menghormati pakaian tradisional kaum Iban bukan hanya memberi kesan kepada pengadu sahaja tetapi keseluruhan masyarakat Iban.
Menurut keterangan kes, pada 27 Mei 2021, seorang pengadu telah membuat laporan polis dengan mendakwa semasa melayari laman sosial Facebook, dia telah menonton sebuah video di bawah akaun Duriankimchi yang dikendalikan oleh Nik Muhammad Rizal dengan kandungan mempersendakan pakaian tradisional kaum Iban.
Dia didakwa menyamakan busana ‘ngepan indu’ seperti ‘sementing duit syiling’ yang sepatutnya disimpan dalam poket, ‘tango’ sebagai kain alas peti televisyen, ‘kain kebat @ kain karap’ sebagai kain buruk dan ‘ngepan Iban’ sebagai langsir.
Sebanyak 27 laporan polis yang dibuat terhadap tertuduh berhubung kejadian itu telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk diterima pakai sebagai bahan bukti mahkamah.