Pemimpin lama ‘belasah’ saya demi ego, kata Najib

Beliau berkata, pemimpin itu juga sanggup melakukan apa sahaja demi menjaga air muka beliau yang sebelum ini tidak pernah merasa kalah.

“Amat mengecewakan apabila seorang pemimpin lama hari ini sanggup menggadaikan perjuangan atas nama agama, bangsa dan negara semata-mata ingin bersekongkol dengan parti-parti lain yang matlamatnya terang-terang bertentangan dengan matlamat dan nilai parti yang diperjuangkannya dahulu,” kata Najib, memetik kenyataannya di laman NajibRazak.com.

Posting bertajuk ‘ucapan Perdana Menteri mengenai perjuangan agama, bangsa, dan negara’ itu bagaimanapun tidak menamakan individu tersebut.

“Demi menjatuhkan kerajaan, yakni yang beliau sendiri asaskan kerajaan yang ada hari ini.

“Memang diketahui umum bahawa beliau sebelum ini tidak pernah kalah, dan bagi menjaga air muka beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk lari daripada kegagalan dalam usaha menjatuhkan kerajaan yang sedia ada,” kata Najib.

“Semata-mata untuk mempertahankan ego beliau, beliau sering melontarkan pelbagai tohmahan terhadap saya dan anggota pentadbiran saya, namun apa yang dikatakan beliau berbaur fitnah dan diperbesar-besarkan.”

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berterus-terusan menyerang Najib susulan isu membabitkan syarikat pelaburan strategik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dr Mahathir kini bersama-sama bekas serpihan kepimpinan Umno yang digugurkan seperti bekas Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan parti baharu dalam usaha mereka untuk menentang Najib.

“Dalam hidup ini kita perlu mempunyai matlamat. Saya menceburi bidang politik melalui parti saya di mana perjuangannya adalah untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara, selari dengan matlamat dan nilai hidup saya,” kata Najib.

Dalam postingnya itu, Najib turut menegaskan tiada beza antara dirinya dan pemimpin itu kerana beliau kini berusaha membangunkan negara walaupun dirinya ditohmah.

“Walau apapun tohmahan yang dilemparkan kepada beliau dahulu, bangunan serta infrastruktur tetap dibangunkan, negara tetap dapat melalui proses transformasi walaupun musuh politik dahulu yang kini beliau bersubahat dengan, menuduh beliau sebagai pemberi rasuah, salah guna kuasa dan kepala perompak.

“Tiada bezanya apa yang dilalui oleh saya dan beliau. Saya tetap akan meneruskan kerja saya untuk membangunkan agama, bangsa dan negara tercinta ini walaupun perlu menempuhi segala tohmahan yang dilemparkan olehnya,” kata Najib lagi.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri