Pembunuh Amila Edrus berdepan hukuman gantung sampai mati

Norhamid Nor Muhamad, 26, yang memakai baju-T berwarna kuning itu berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Zuhair Rosli kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Norhamid didakwa membunuh Noor Amila Edrus, lima tahun, di dalam sebuah bengkel kereta tidak bernombor di Blok C, Lorong 5/16C, kawasan perumahan awam, Jinjang Utara, Sentul, Kuala Lumpur pada 5.30 pagi, 12 Ogos lepas.

Keluarga tertuduh turut hadir di mahkamah.

Mahkamah menetapkan 25 Oktober untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Muhamad Sapri Yaakub manakala tertuduh yang merupakan abang ipar tiri kepada mangsa tidak diwakili peguam.

Noor Amila Edrus dilaporkan hilang di Jinjang Utara pada 11 Ogos sebelum mayatnya ditemukan di kawasan semak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang pada 12.30 tengah hari 18 Ogos lepas.

Semasa kanak-kanak lelaki itu dilaporkan hilang, kes itu mulanya disiasatsebagai kes orang hilang sebelum bertukar menjadi kes culik mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan selepas suspek ditahan.

Namun setelah mayat mangsa ditemui, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan membunuh. –Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia