Sekeping surat yang didakwa ditulis Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak Najib supaya meletak jawatan menjadi viral di laman media sosial pada Sabtu.
Najib berkata beliau percaya surat itu sengaja direka pembangkang yang didakwa ‘iri hati’ dengan solidariti kukuh yang diperlihatkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 baru-baru ini.
“Oleh itu, tidaklah menghairankan apabila mereka menyebarkan khabar angin dalam usaha untuk merosakkan hubungan rapat saya dan Timbalan Perdana Menteri.
“Mungkin pembangkang tersalah anggap perwatakan Timbalan Perdana Menteri dengan beberapa bekas pemimpin parti UMNO yang didorong oleh kepentingan peribadi, bukan kepentingan parti atau nasional,” kata Najib dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata pembangkang kini begitu terdesak dan di dalam kucar-kacir sehingga mereka terpaksa bersekutu dengan orang yang memenjara pemimpin mereka sendiri.
Pada masa sama, Najib menggesa semua ahli parti untuk sentiasa berwaspada terhadap taktik kotor yang digunakan oleh pihak lawan.
“Mereka mencemburui solidariti kukuh dalam Umno dan Barisan Nasional,” katanya.
Barisan di laman portal rasminya menunjukkan surat palsu itu mengandungi slogan “Demi Malaysia yang lebih baik”.
Ia merupakan slogan Parti Pribumi Persatu Malaysia (PPBM).