Pembangkang hanya iktiraf SPR jika mereka menang – Azalina

Kata Azalina, pembangkang menganggap segala usaha yang dilaksanakan oleh SPR bermotifkan politif tetapi sebaliknya akan memuji agensi kerajaan itu sekiranya mereka memenangi pilihan raya.

“Kalau mereka menang, SPR dikatakan telus dan ikut undang-undang, kalau mereka kalah, SPR dituduh bermotif politik dan jadi kuda tunggangan Barisan Nasional.

“Sekiranya tindakan SPR didapati adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip persempadanan, pihak-pihak yang berkaitan berpeluang untuk membuat cadangan untuk pertimbangan SPR.

“Sekiranya SPR dilihat sebagai berpihak kepada kerajaan, maka undang-undang tidak akan membenarkan syor tersebut dibantah oleh mana-mana pihak,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan ahli Parlimen BN-Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim yanag meminta kerajaan menjelaskan mengapa masih ada pihak yang mempertikaikan proses persempadanan semula yang dijalankan oleh SPR dengan dakwaan ianya bermotif politik.

Menurut Azalina, SPR telah memberikan ruang kepada mana-mana pihak yang terkesan dengan persempadanan semula untuk membuat bantahan dalam tempoh sebulan bermula 15 September lalu.

Jelasnya, bantahan dan pertimbangan ini tidak dikhususkan kepada mana-mana parti politik atau pihak kerajaan kerana di bawah Perlembagaan Persekutuan, pihak-pihak yang terkesan diberi hak untuk membuat bantahan.

“Untuk makluman, sepanjang tempoh pameran dan bantahan sebulan yang berakhir pada 14 Oktober 2016, SPR telah menerima 836 representasi bantahan bagi syor tersebut di mana semua pihak termasuk kerajaan negeri dan parti politik juga telah membuat bantahan.

“Sekiranya tindakan tersebut menguntungkan kepada pihak kerajaan, maka sudah tentu tidak akan timbul bantahan daripada parti pemerintah dan kerajaan negeri.

“Urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan negeri yang dilaksanakan SPR adalah berlandaskan kepada prinsip-prinsip dan tatacara persempadanan berdasarkan bidang kuasa SPR yang diperuntukkan di bawah Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan dan di bawah Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri