Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Johor Supt Baharuddin Mat Taib berkata pihak polis memandang serius perbuatan lelaki itu memandu secara melulu dan membahayakan orang awam.
“Pihak polis ingin menegaskan di sini walaupun tidak terlibat dalam kemalangan namun cara pemanduan yang melulu dan berbahaya adalah kesalahan yang boleh disabitkan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Seorang pengguna jalan raya telah meviralkan gambar pemandu kenderaan itu di dalam Facebook setelah tidak berpuas hati dengan sikap biadabnya memandu secara melulu.
Pengguna itu juga mendakwa pemandu itu tidak takut sekiranya laporan polis dibuat terhadapnya kerana menyifatkan polis Johor baik dengannya.
Baharuddin menegaskan polis tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas.
“Semakan telah dibuat melalui Sistem Cops dan mendapati pemandu berkenaan mempunyai 13 rekod saman yang belum dijelaskan iaitu 12 saman kerana kesalahan memandu laju dan satu lagi kerana memandu di lorong kecemasan,” katanya. – Bernama