Pemandu Lori Mengaku Tak Bersalah Sebabkan Kematian Tiga Anggota Tentera

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gurun atas pertuduhan menyebabkan kematian tiga anggota tentera dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan awal bulan ini.

Muhammad Huzaifah Azhari, 31, dari Alor Setar membuat pengakuan itu di depan Majistret Anis Suraya Ahmad selepas pertuduhan dibacakan, menurut Sinar Harian.

Tertuduh didakwa memandu lori dalam keadaan berbahaya dan menyebabkan kematian Mohd Hafiz Haris, 30, Rozali Abdull Rani, 39, dan Mohd Asri Idris, 40, di KM77.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara di daerah Kuala Muda kira-kira 10.30 pagi 2 Feb lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan di antara RM20,000 hingga RM50,000.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ummi Kalthum Zakaria merayu ikat jamin paling minimum bagi tertuduh yang perlu menanggung seorang isteri dan dua anak masih kecil.

Mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mac ini.

Media sebelum ini melaporkan tiga anggota tentera maut akibat parah di kepala dan badan dalam kemalangan tiga trak pasukan itu dengan sebuah lori di KM77.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Gurun pada 2 Feb lalu.

Tiga mangsa dari Pasukan 3 Rejimen Sempadan (RS) yang berpangkalan di Kem Pengkalan Hulu, Perak dalam konvoi menuju Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder di Kangar untuk mengambil anggota bagi menjalani Eksesais Satria Gagah.

Tetapi, sebuah daripada tiga trak konvoi itu rosak menyebabkan mereka terpaksa berhenti di laluan kecemasan lebuh raya sebelum dirempuh sebuah lori di lokasi nahas. – Sinar Harian

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap