Perancang tengah kebangsaan itu yang sudah memiliki hampir kesemua trofi dalam Liga Malaysia mengakui beraksi pada kejohanan bola sepak kelab utama Asia itu menjadi impiannya sebelum bersara, suatu hari nanti.
“Kejayaan menjulang Piala FA ini menambah koleksi kejuaraan saya dan saya berharap kejayaan ini tidak berhenti begitu…saya berharap pasukan ini (JDT) dapat mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” kata Safiq pada sidang media selepas perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi.
JDT muncul juara Piala FA buat pertama kali setelah menang tipis 2-1 ke atas PKNS FC pada aksi final.
Penyerang import dari Argentina, Gabriel Miguel Guerra menjaringkan gol pembukaan untuk PKNS FC menerusi sepakan penalti pada minit keenam sebelum JDT bangkit menerusi sepakan penalti Safiq pada minit ke-16 dan gol padang Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-35.
Berkongsi pandangan sama ialah penjaga gol JDT, Izham Tarmizi Roslan yang bertekad membantu skuad Harimau Selatan mempertahankan Piala Liga Super dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selain memenangi Piala Malaysia buat pertama kali untuk pasukan berkenaan, musim ini.
Bagi tonggak tengah JDT, Hariss Harun, beliu berkeyakinan bahawa kejayaan ini akan memberi lebih perangsang untuk Harimau Selatan memperoleh lebih banyak kejayaan pada musim ini.
“Tentulah saya gembira dengan kemenangan ini dan saya percaya kami mempunyai potensi besar untuk merangkul lebih banyak trofi, tetapi perlu berhati-hati dalam setiap perlawanan,” kata pemain dari Singapura itu.
Berbeza pula dengan nada yang disuarakan penjaga gol PKNS FC, G. Jeevanathan yang kecewa kerana gagal membantu skuad Semut Merah meraih Piala FA.
“Saya ingin memohon maaf kepada penyokong di atas kegagalan ini, namun saya berharap rakan sepasukan bangkit daripada kekalahan ini.
“Kecewa itu memang ada, lebih-lebih lagi saya merupakan benteng terakhir pasukan,” jelas anak jati Johor itu. – Bernama