Sebelum pertembungan penting liga kedua-dua pasukan itu, bas yang membawa pemain United diserang dan dibaling dengan objek-objek keras ketika menuju ke Stadium Upton Park memaksa perlawanan ditangguhkan selama 45 minit.
Terlebih dulu ketinggalan seawal minit ke-10 menerusi jaringan Diafra Sakho, United bangkit untuk mendahului 2-1 dengan kedua-dua gol diledakkan penyerang muda Perancis, Anthony Martial pada awal babak kedua.
Begitupun, semangat West Ham yang beraksi buat kali terakhir di Upton Park selepas 112 tahun terlebih dulu jelas sukar untuk digugat apabila kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-76 menerusi jaringan Michail Antonio.
Gol kemenangan tuan rumah dijaringkan pemain pertahanan, Winston Reid yang menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-80 menewaskan David de Gea.
Perlawanan ke-2,398 West Ham di Upton Park itu cukup bermakna apabila diakhiri dengan kemenangan dengan pasukan itu akan berpindah ke stadium Olimpik pada musim depan. Pengurus United, Louis van Gaal berkata, sebelum perlawanan insiden menakutkan itu mengganggu pemain-pemain mudanya.
“Ia bukan kali pertama ia berlaku, namun saya mempunyai banyak pengalaman dalam bola sepak. Ada pemain yang tidak mempunyai pengalaman langsung.
“Ia akan mempengaruhi, namun saya tidak fikir kami perlu mencari alasan,” kata pengurus kelahiran Belanda itu.
Kekalahan itu menyaksikan United kekal di tangga kelima liga dan hanya boleh memintas pasukan di tangga keempat, Manchester City jika menang di laman sendiri menentang Bournemouth pada Ahad dan City tewas kepada Swansea.
Senario itu jelas memberi tekanan tambahan buat Van Gaal yang jelas tidak mahu beraksi di pentas Liga Europa musim depan sekali pun masih berpeluang memenangi satu trofi, Piala FA apabila dijadual menentang Crystal Palace di final.
Bagi West Ham, ini adalah kemenangan pertama kelab itu ke atas United dalam 15 percubaan dan pertama buat pengurus, Slaven Bilic. Kemenangan itu lebih menggembirakan apabila The Hammers ketika ini kembali menghuni slot ke Liga Europa dalam kedudukan liga berbaki satu perlawanan. – AFP