Mazrul Hakim Mat Zin, 16, berkata dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, dia baru keluar dari surau asrama sebelum didatangi seorang pelajar senior yang mengarahkannya pulang ke asrama.
“Sampai di asrama, mereka terus bertindak mengunci pintu dan dua pelajar senior serta empat lagi rakan sebaya telah memukul saya bergilir-gilir sambil disaksikan beberapa pelajar lain.
“Pelajar lain tidak berani untuk membantu. Selepas mereka berhenti memukul, saya menghubungi kakak di Universiti Tenaga Nasional Berhad (Uniten) Muadzam Shah dan kami ke balai polis membuat laporan pada pukul 2.40 pagi,” katanya.
Mazrul Hakim berkata mereka kemudian ke Hospital Muadzam Shah dan dia ditahan semalaman di wad untuk pemantauan.
Dia mengalami lebam di tangan, kaki dan kepala.
Kakak sulungnya, Mazita, 34, berkata pada malam kejadian, adiknya di Uniten Nur Mas Idayu menghubunginya dan memberitahu Mazrul Hakim menghantar pesanan ringkas yang pelik di telefon.
“Saya cuba menghubungi adik dan warden sekolah sejak pukul 11.40 malam namun tiada jawapan,” katanya, memetik laporan mStar Online.
Mazita berkata mereka juga ralat dengan tindakan warden dan pengetua sekolah yang didakwa tidak menghubungi keluarga untuk memaklumkan kejadian itu, mahupun bertanya khabar adiknya selepas dimasukkan ke hospital.
Katanya pihak sekolah telah memberitahu mereka kemudian bahawa telefon bimbit yang didakwa dicuri adiknya itu telah dipulangkan oleh seorang pelajar lain.
Mazita berkata ini bukan kali pertama adiknya mengadu diganggu pelajar lain, namun mereka masih boleh bersabar dan menganggap perkara itu adalah asam garam duduk di asrama.
Beliau berkata adiknya mahu bertukar sekolah dan berharap Jabatan Pendidikan dapat mempercepatkan urusan pertukaran kerana adiknya kini trauma dan sering meracau dalam tidur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin DSP Aidil Roneh Abdullah semasa dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan enam pelajar berkenaan telah dipanggil untuk siasatan.