Pelajar terlepas ETS dapat tiket percuma KTMB

Nurul Khairiah Ahmad Zaki, 22, yang terkandas di Stesen Gombak lebih sejam akibat gangguan perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dari Setiawangsa ke KLCC telah menerima panggilan telefon daripada pihak KTMB yang menawarkan tiket pulang ke Taiping, Perak pada 10.30 pagi Sabtu.

“Saya terkejut menerima panggilan KTMB, saya gembira akhirnya dapat pulang menyambut Aidiladha bersama keluarga,” katanya kepada Bernama pada Jumaat malam.

Bernama sebelum ini melaporkan nasib Nurul Khairiah yang buntu untuk pulang ke kampung berikutan tidak mempunyai cukup wang untuk mendapatkan tiket lain selepas terkandas akibat gangguan LRT itu.

Sementara itu, Nurul Khairiah dalam status terkini di laman Facebooknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha membantunya pulang ke kampung terutama KTMB, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

“Terima kasih dalam membantu menyelesaikan urusan saya hari ini. Kepada semua yang telefon, mesej Facebook dan WhatsApp, saya ucapkan terima kasih kerana turut sama membantu dan bertanya khabar. Siap ada yang nak belikan tiket pula.

“Alhamdulillah, Allah mengurniakan orang yang terbaik membantu saya hari ini. Semoga kita mendapat rahmatNYA dan permudahkan urusan kita,” katanya.

Perkhidmatan LRT laluan Setiawangsa-KLCC terjejas ketika waktu puncak pada 9.10 pagi Jumaat apabila sebuah tren dari Stesen Datuk Keramat menuju ke Stesen Jelatek tiba-tiba berhenti di atas trek di antara Stesen Datuk Keramat dan Damai.

Perkhidmatan LRT dapat dipulihkan pada 11.45 pagi dan ini adalah insiden kedua perkhidmatan LRT terjejas dalam minggu ini.

Rabu lepas, ribuan pengguna perkhidmatan LRT terkandas berikutan masalah teknikal yang menyebabkan keseluruhan perkhidmatan dari laluan Gombak hingga Putrajaya terjejas bermula 7 pagi dan kembali beroperasi sepenuhnya pada 1.15 tengah hari. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia