Seorang pelajar perubatan tahun akhir Segi College Sarawak yang sedang menjalani latihan di Hospital Sibu dilapor hilang selepas tidak kembali ke rumah pada Sabtu lalu.
Siti Fatimatuzzahrah Bumidin, 25, dari Ipoh, Perak dilihat oleh rakan-rakannya keluar daripada rumah mereka di Lorong 21, Taman Permai di Sibu kira-kira 1 tengah hari.
Dia bagaimanapun tidak menyatakan kepada rakan-rakan serumahnya ke mana dia hendak pergi, malahan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.
Bapa saudaranya, Ishak Rahmad meminta agar orang ramai menghubungi pihak polis jika mereka ternampak kelibat Fatimatuzzahrah yang memakai tudung, berketinggian 140 sentimeter dan berat 45 kilogram.
“Dia sepatutnya menduduki peperiksaan profesional perubatan, tapi tidak hadir,” katanya.
Ishak berkata, laporan mengenai kehilangan anak saudarnya itu telah dibuat di Balai Polis Sentral Sibu oleh rakan serumanya pada 4.47 petang semalam.
Polis dilapor telah meminta bantuan pihak Lapangan Terbang Sibu untuk memeriksa sekiranya Fatimatuzzahrah telah keluar dari Sibu melalui lapangan terbang itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Supt Martin Khoo berkata, pihaknya akan menemubual rakan-rakan kolejnya dan akan menghubungi keluarganya jika ada perkembangan terbaharu.
Balai Polis Sibu boleh dihubungi di talian hotline 084-322 222. – Bernama