Keputusan yang dibuat Lembaga Imigresen dan Pelarian Kanada semalam selepas sesi pendengaran permohonan berjalan selama 20 minit.
Keputusan itu sekaligus membolehkan penuntut Universiti Winnipeg, Hazim Ismail untuk tinggal di sana selepas melahirkan kebimbangan terhadap keselamatannya sekiranya dia dihantar pulang ke Malaysia.
“Saya amat gembira dan menghargai keputusan tersebut,” katanya memetik laporan portal CBC.ca.
Peguamnya, Bashir Khan berkata, dengan status baru itu, anak guamnya tidak boleh dihantar balik ke negara asal.
“Hazim datang ke sini sebagai penuntut status pelarian dan dia akan bebas ke luar sebagai insan yang dilindungi.
“Anak guam saya seorang yang boleh dipercayai dan mendapat sokongan hebat daripada orang ramai,” katanya.
Keputusan bertulis berkenaan perkara itu akan diterima Hazim dalam tempoh tiga hingga enam minggu lagi, dan dokumen tersebut membolehkan dia memohon status penduduk tetap Kanada.
Sebelum ini, Hazim mencuri tumpuan media antarabangsa selepas memaklumkan dirinya dibuang keluarga kerana mereka mengetahui dia merupakan pelaku gay dan ateis.
Ekoran itu, keluarganya bertindak menghentikan bantuan pengajiannya.
Akibatnya, Hazim terpaksa meminta bantuan daripada orang ramai dengan membuka halaman GoFundMe pada November lalu untuk mengumpul dana bagi meneruskan pengajiannya bagi sesi sementer 2016.