Peladang, pengurus ladang didakwa ceroboh tanah Sultan Johor

Peladang, Yean Fock Choi, 64, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan manakala pengurus ladang, Gan Tong Chon, 62, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah, Nor Aziela Sidek.

Kedua-dua lelaki terbabit dituduh dengan niat curang menceroboh secara jenayah dengan memasuki tanah Sultan Ibrahim di Mukim Kahang, di sini, antara 11.45 pagi dan 2.53 petang, 16 Ogos lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tong Chon dalam pada itu, mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan iaitu mengambil pekerja dua warga Indonesia, Masri dan Najamudin yang tidak memiliki satu pas yang sah di alamat, masa dan tarikh yang sama.

Tong Chon dituduh mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 tahun atau kedua-duanya bagi setiap warga asing yang diambil bekerja.

Mahkamah membenarkan Fock Choi diikat jamin RM3,000 dan menetapkan hukuman terhadapnya dijatuhi esok memandangkan ketiadaan Majistret, hari ini.

Tong Chon pula dibenarkan diikat jamin RM11,000 terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan ditetapkan 11 Sept depan untuk sebutan semula kes berkenaan. -Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia