SANDAKAN: Seorang pekerja ladang cedera selepas besi yang digunakan untuk mengutip sawit tertusuk bahagian perutnya dalam kejadian di sebuah ladang sawit, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 21 tahun yang cedera dihantar ke Hospital Duchess Of Kent untuk rawatan kecemasan bersama besi yang masih menusuk perutnya.
Bagaimanapun, pihak hospital terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba selepas sukar mengeluarkan besi berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Severinus Nidzam Sainkui, berkata berkata pihaknya menerima panggilan dari Bahagian Kecemasan hospital, 10.35 pagi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi berkenaan.
“Mangsa lelaki tertusuk besi alat pengutip sawit (Loading Spike T-Handle) di bahagian perut ketika menjalankan aktiviti mengutip sawit.
“Pasukan bomba bertindak memotong besi dengan menggunakan mesin grinder,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan pada jam 11.07 pagi,” katanya. -Berita Harian