Peja Sahkan Tidak Akan Bertanding Cabar Presiden Bersatu

PETALING JAYA: Ahmad Faizal Azumu mengesahkan tidak akan mencabar jawatan presiden pada pemilihan Bersatu tahun ini, namun belum memberi “bayangan jelas” sama ada mahu mempertahankan kedudukan orang nombor dua parti.

Bercakap kepada FMT, Faizal mengisytiharkan sokongan penuh kepada Muhyiddin Yassin yang pada perhimpunan agung tahunan Bersatu November lalu, mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden parti, tetapi kurang 24 jam mengubah pendirian.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga bekas perdana menteri itu berbuat demikian selepas diyakinkan isterinya Noorainee Abdul Rahman, untuk “tidak mengecewakan ahli yang memerlukannya.”

“Tak tanding presiden. Saya sedang menjalankan tanggungjawab sebagai timbalan presiden dan akan lakukan dengan sebaik mungkin.

“Paling penting pastikan asas dan penubuhan itu utuh, jangan ada unsur lain serta lari daripada perjuangan,” kata Faizal, bekas menteri besar Perak dan mantan Ahli Parlimen Tambun.

Bagaimanapun, Faizal atau lebih dikenali Peja tidak memberi sebarang jawapan jelas sama ada beliau mahu bertanding mengekalkan jawatan pada pemilihan tahun ini, selepas ditangguhkan selama 18 bulan sejak Mei 2023.

“Kalau saya berhasrat nak kekal jawatan, proses demokrasi perlu dilalui. Ada pertandingan atau tidak itu cerita lain tetapi proses demokrasi perlu berjalan,” katanya yang menang tanpa bertanding pada pemilihan empat tahun lalu.

Bersatu dijangka mengadakan pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan bahagian tahun ini dengan tumpuan kepada kerusi presiden dan timbalannya yang akan membayangkan calon perdana menteri PN, seperti ketika PRU15 apabila Muhyiddin dicalonkan ke jawatan itu sesuai statusnya sebagai pengerusi PN.

Sebelum ini, timbul cakap-cakap Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin disebut-sebut antara calon utama mengisi kerusi nombor satu parti jika Muhyiddin memutuskan tidak bertanding pada pemilihan akan datang.

Namun, sumber parti memberitahu Ahli Parlimen Larut itu sebenarnya masih tidak layak bertanding jawatan “top 5” Bersatu kerana baru penggal pertama menganggotai MPT, merujuk pelantikan Hamzah sebagai setiausaha agung pada 26 Mac 2020 dan mengekalkannya selepas pemilihan parti empat bulan kemudian. –Free Malaysia Today

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri