“Pecat Sajalah”, Kata Suhaili

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman menegaskan, beliau dan lima lagi Ahli Parlimen yang bertindak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan meletakan jawatan.

Suhaili turut mencabar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar memecat sahaja mereka dari parti.

“Jangan tunggu kami letak jawatan, sebab (kami) tidak akan letak jawatan, kalau betul-betul hendak, pecat sajalah kami, lagi cepat.

“Kami tidak akan letak jawatan, tidak akan tinggalkan parti kecuali di pecat,” katanya hari ini.

Suhaili berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris bahawa parti itu akan membuat Perhimpunan Agung Khas pada 2 Mac ini yang dijangka “menamatkan riwayat enam jahanam” dalam parti tersebut.

Perhimpunan itu akan meminda perlembagaan parti susulan tindakan enam Ahli Parlimennya menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Malah, Razali turut mencabar kesemua mereka melepaskan jawatan sebagai ahli parti itu sebelum masing-masing dipecat.

Dalam pada itu, Suhaili berkata, Perkara 10 dalam perlembagaan parti yang mahu dipinda bagi menghalang insiden sama berulang, selain sedia berdepan PRK jika berlaku pengosongan kerusi wakil rakyatnya yang diambil tindakan juga tidak memberikan kesan kepada mereka.

Jelasnya, keenam-enam mereka tidak bertindak melompat parti tapi lebih kepada memberikan sokongan kepada kerajaan.

“Kami bukan lompat (parti), tapi keahlian dilucutkan. Bagaimana dia boleh kata nak guna akta itu, kami juga bukan berhenti daripada parti.

“Siapa nak layan cabaran dia, bermakna mereka (Bersatu) sendiri tidak yakin dengan langkah untuk pinda Perlembagaan itu.“Kata bila pinda, akan gugur (keahlian), gugurlah, tidak payah hendak minta kami berhenti. Berhentilah cari publisiti murahan, sudah-sudahlah Razali,” katanya lagi.

Untuk rekod, selain Suhaili, lima lagi Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar). – MalaysiaGazette

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia