Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong berkata, kelangsungan UMNO dilihat perlu untuk terus menjadi wadah politik rakyat di negara ini.
“Sepertimana di dalam lirik lagu UMNO ‘UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia’, pemimpin-pemimpin harus menyedari bahawa kepentingan rakyat Malaysia maju bersama di zaman sekarang.
“Saya setuju dengan pandangan bahawa hanya segelintir ahli-ahli UMNO yang merosakkan nama Parti dan Barisan Nasional (BN).
“Secara keseluruhannya tidak seperti parti-parti pembangkang, UMNO telahpun membuktikan bahawa parti-parti komponen BN dapat bekerjasama dengan kukuh sejak kemerdekaan demi kestabilan, keamanan dan perpaduan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menambah, prinsip kesederhanaan yang sering disebut Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak adalah satu panduan yang wajar dalam arena politik dan juga pembangunan negara.
“Apa yang penting adalah UMNO harus menunjukkan ia masih mampu menyediakan agenda masa depan negara, mendengar denyut nadi serta bersedia mengisi aspirasi rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian bersempena persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang kini sedang berlangsung sehingga 3 Disember di PWTC, Kuala Lumpur.