PAU 2016: Penyokong Shafie kunci pejabat, musnahkan dokumen UMNO

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Nasir Sakaran berkata pihaknya terpaksa mengambil masa selama dua sebulan untuk memulihkan parti semula dan menyediakan pejabat baru.

“Peringkat awalnya Shafie keluar UMNO memang banyak yang mungkin risau atau kekeliruan terutama sekali ahli di bahagian Semporna.

“Selain itu fail-fail juga kita kena cari daripada pejabat perhubungan Sabah dan pusat dan fail-fail lama tidak dikembalikan mungkin dimusnahkan pihak keluar UMNO tapi tak tahulah.

“Pejabat lama mungkin kumpulan Shafie merasakan itu bangunan mereka sebab itu kita tidak lagi boleh gunakan pejabat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di PWTC bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 pada Jumaat.

Shafie bertindak keluar parti selepas digantung keahlian UMNO susulan daripada kritikkan kerasnya terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak secara terbuka mengenai isu 1MDB.

Mengulas mengenai tindakan Shafie itu, Nasir mengakui ada ramai ahli turut mengikuti jejak bekas Naib Presiden UMNO itu tetapi tidaklah seramai 300 ketua cawangan seperti yang didakwa oleh Shafie.

“Majoriti cawangan UMNO Semporna masih setia kepada parti. Kita susun ahli jawatankuasa bahagian.

“Ada yang ikut. Tapi tak seramai yang mereka dakwa. Masih ramai yang bertahan dan setia,” ujarnya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri