Kata Najib, skim tersebut sebagai menghargai mereka yang bertungkus-lumus, berkorban jiwa dan raga demi kepentingan parti walaupun berdepan dengan kemungkinan mendapat kecelakaan dalam usaha tersebut.
“Parti sedang mengkaji satu skim perlindungan supaya mereka yang terlibat dengan musibah, kita dapat beri sumbangan sedikit sebanyak,” kata Najib dalam ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agong UMNO di PWTC pada Khamis.
Seramai 223,000 orang jentera Jalinan Rakyat daripada seramai 1,366,457 ahli Wanita UMNO akan menerima manfaat dalam skim tersebut.
Menurut Najib, cetusan idea tersebut timbul apabila Ketua Wanita Cawangan Bandar Baru Selayang, Saridah Ibrahim yang terlibat dalam kemalangan jalanraya sewaktu pulang dari berkempen untuk Barisan Nasional semasa Pilihanraya Kecil DUN Kajang pada tahun 2014.
“Saya berasa begitu sayu dan tersentuh apabila mendengar cerita tentang wirawati-wirawati Wanita UMNO yang tidak didendang.
“Sesungguhnya, saya berasa sungguh sebak dan terharu, melihat keadaan Puan Saridah kini yang penuh semangat, walaupun dalam keadaan yang uzur, beliau sanggup hadir bersama kita.
“Inilah dia contoh sejati semangat pendekar Tun Fatimah, wirawati kegemilangan Melayu Melaka yang patut dinyala-nyalakan dalam sanubari semua, bukan sekadar Wanita, bahkan seluruh ahli UMNO,” katanya.