Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedudukan UMNO sebagai parti politik tulang belakang BN tidak seharusnya dipandang serong oleh rakan komponen yang lain kerana UMNO mengamalkan konsep perkongsian kuasa.
“Sesungguhnya, UMNO bukan hanya untuk orang Melayu dan Bumiputera sahaja. UMNO juga memperjuangkan hak semua bangsa dan kaum walaupun fakta membuktikan UMNO dan BN ditolak oleh rakyat bandar yang majoritinya bukan Melayu.
“Kepada rakan-rakan komponen BN yang lain, marilah bersama bekerja sekuat UMNO. Ayuh kita sama-sama perkuatkan kekuda perjuangan kita bagi membolehkan kita melawan sesiapa sahaja yang cuba meruntuhkan kerajaan kita pada hari ini.
“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, kita berpegang kepada prinsip berkongsi kuasa bersama-sama rakan kita dari pelbagai kaum,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC pada Selasa.
Jelas Zahid, prestasi merudum yang dihadapi oleh Barisan Nasional dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini perlu diambil serius oleh semua parti-parti komponen untuk mempertingkatkan prestasi masing-masing menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Ianya merupakan suatu realiti yang harus direnungi dalam menelusuri rentak perjuangan untuk mengekalkan kerajaan sedia ada. Ingatlah bahawa terkekalnya kerajaan kita hari ini adalah dengan hanya 134 kerusi sahaja sebelum dua kerusi dilempiaskan dari pegangan kita.
“Analisis memperlihatkan UMNO berjaya memenangi 88 kerusi, meningkat 9 kerusi berbanding dengan PRU ke-12, MIC meningkat satu kerusi kepada 4, manakala MCA pula merosot daripada 15 kerusi hanya kepada 7 kerusi dan Gerakan kekal kepada 2 kerusi.
“Bagi pakatan pembangkang pula kerusi DAP menunjukkan peningkatan daripada 28 kepada 38 kerusi,” katanya
Bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, UMNO sebagai parti tunjang dalam Barisan Nasional perlu memainkan peranan penting untuk mempertahankan kepimpinan sedia ada.
“Semangat 1Malaysia, dipegang erat dan kemas oleh parti bernama UMNO ini demi memastikan legasi perjuangan yang diterokai bersama oleh pimpinan pelbagai kaum terdahulu dapat diteruskan sehingga sekarang. UMNO masih tegar mempertahankan teras politik kongsi kuasa.
“Di sinilah peranan UMNO. UMNO bertindak membuktikan bahawa parti ini mengamalkan suatu bentuk politik yang dipanggil sebagai Politik Anjal. Suatu bentuk politik yang fleksibel dengan situasi atau suasana kini.
“Kata orang, tatkala susah, UMNO juga turut merasai susahnya, tatkala senang, UMNO juga turut bersama senang dengan yang lain. UMNO bersifat memayungi kaum bukan Melayu atas prinsip sebumbung senegara. UMNO bukan rasis,” ujarnya.