Tidak menamakan pihak tertentu, Zahid berkata mereka yang merasa cemburu itu terpaksa merencanakan pelbagai asakan terhadap pemimpin parti dan kerajaan.
“Mereka tidak akan puas selagi tidak melihat negara ini menjadi huru-hara, tersungkur dan rakyat menderita. Mereka akan mencipta pelbagai jalan cerita untuk menghancurkan pemimpin UMNO.
“Mereka juga mencipta ‘story board’ dalam membentuk ‘perception terrorism’ sepanjang masa bagi menghilangkan kepercayaan terhadap pemimpin dan banyak institusi yang menjadi tunjang kepada kemakmuran negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC di sini.
Mengambil contoh zaman pemerintahan Adolf Hitler suatu ketika dahulu, Zahid berkata mereka melalui propaganda radio dan filem yang kreatif telah berjaya mengawal pemikiran lebih daripada 80 juta orang.
“Plot pembangkang di negara ini juga seakan hampir sama. Mereka menggula-gulakan rakyat dengan propaganda mereka bahawa negara ini akan bankrap serta pelbagai lagi dakwaan dan cerita-cerita palsu yang digembar-gemburkan.
“Sesungguhnya, kita seharusnya merasa risau dan gayat apabila melihat perubahan seperti ini yang berlaku kepada masyarakat kita.
“Perubahan yang bukan sahaja melibatkan perubahan strata sosial malah lebih membimbangkan kita ialah perubahan dari segi pola dan kecenderungan pemikiran rakyat yang menjurus kepada timbulnya budaya politik kebencian (hatred politics),” ujarnya.