Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya menerima banyak usul Puteri UMNO bahagian supaya dilaksanakan keahlian automatik dan melanjutkan usia Puteri dari 35 ke 40 tahun.
“Sebenarnya, usul keahlian automatik telah berulang kali dicadangkan sejak Ketua Puteri UMNO yang pertama lagi iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said sehinggalah ke Datuk Rosnah Shirlin,” katanya.
Ketika ini terdapat pilihan untuk mereka memilih sama ada menjadi ahli Puteri atau Wanita ketika mendaftar.
Dengan peraturan parti sedia ada, usaha Pergerakan Puteri UMNO untuk mencapai sasaran seramai 500,000 ahli pergerakan itu menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang sukar dan sehingga kini keahlian sayap itu mempunyai seramai 400,000 keahlian.
Susulan daripada itu, beliau berharap Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Jalil sudi mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan konflik tersebut demi kesejahteraan parti terjamin.
“Kami berharap supaya dalam isu ini akan ada sinar yang baru. Kami yakin, Tan Sri Shahrizat selaku Ketua Wanita Umno begitu memahami aspirasi golongan wanita muda,” ujarnya.