Bukan setakat itu sahaja, ahli Parlimen Pandan itu dilihat hadir dengan berpakaian lokap polis.
Rafizi hadir bersama Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang juga Ketua Gerakan Baju Merah.
Jamal kemudian bertemu dengan orang ramai yang ingin bergambar dengannya sambil gambar Rafizi tetap tergantung di lehernya.
Dilihat berada di tengah-tengah kesibukan orang ramai di PWTC, Jamal meminta ahli UMNO supaya tidak lupa kepada fitnah dibuat Ahli Parlimen Pandan itu.
Jamal berkata, Rafizi adalah pihak yang bertanggungjawab menyebabkan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil meletakkan jawatan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Kita ingin memperingatkan kembali sejarah yang dilakukan individu ini yang dikenali sebagai Rafizi.
“Apa yang saya cuba gambarkan ialah, kerana dia inilah ketua wanita UMNO Malaysia terpaksa berundur jawatannya sebagai menteri,” katanya.
Rafizi adalah antara tokoh yang aktif membangkitkan isu skandal National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC). Suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail adalah pengerusi syarikat berkenaan.
Pendedahan Rafizi membawa kepada peletakan jawatan Shahrizat, bagaimanapun saman yang dikemukakan NFC di mahkamah kemudian berpihak kepada syarikat itu.