Kata Zahid, mereka yang menganjurkan demontrasi ini membawa fahaman liberal dengan aliran pemikiran yang songsang dan mengelirukan rakyat.
Jelasnya, beberapa negara Arab seperti Mesir, Libya, Syria, Yaman, Tunisia masih bergolak walaupun pucuk pimpinan telah digulingkan melalui proses anarki yang cukup terancang.
“Tahukah kita bahawa demonstrasi jalanan disusun begitu rapi sebagai permulaan orang dalam negara untuk menjatuhkan kerajaan?
“Orang dalam yang menerima arahan dan pembiayaan dari luar. Orang dalam inilah yang akhirnya akan menjadi boneka pemerintahan baharu.
“Dan ingatlah, semua negara yang diruntuhkan kepimpinan dan kedaulatannya melalui gerakan massa jalanan seperti melalui pakej The Colour Revolution akan menatijahkan sesuatu yang amat dahsyat dan buruk sekali yang mungkin tidak termimpi oleh kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC pada Selasa.
Menurut Zahid, beliau juga pernah memimpin demontrasi mahasiswa untuk menjuarai isu-isu rakyat supaya kerajaan mengambil tindakan menyelesaikan isu tersebut tanpa niat unutk menggulingkan pemerintah.
“Tindakan demonstrasi sekarang lebih bersifat meruntuh, menghancur dan konfrontasional.
“Lebih parah lagi, demokrasi juga ditafsirkan sebagai kebebasan mutlak termasuk dalam penerimaan bantuan hatta daripada organisasi asing sekali pun.
“Saya ingin berpesan, wahai mereka yang di sebelah sana, beringat-ingatlah, berpada-padalah, selagi anak Bagan Datoh ini diberikan mandat menakhodai Kementerian Dalam Negeri, saya tidak akan sesekali lalai untuk meneroponginya, saya tidak akan jemu-jemu untuk mencari ubat penyembuhnya, dengan berlaku adil, demi sebuah negara yang sejahtera,” tegasnya.