PAU 2016: Ahli UMNO perlu ada sifat wala’ – Zahid Hamidi

Kata Zahid, ahli UMNO perlu terus berdiri teguh dan memberi sokongan sepenuh hati kepada kepimpinan parti terutamanya terhadap Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak demi kelangsungan parti.

“UMNO telah melalui proses peremajaan atau rejuvenasi yang cukup matang. Parti ini telah berjaya membuktikan bahawa ia memberikan banyak jasa kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya.

“Jagalah parti ini sebaik-baiknya. Lupakanlah segala sengketa. Lupakanlah soal perebutan jawatan dan tempat dalam parti dan rapatkanlah barisan demi kejayaan yang lebih besar dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

“Untuk menjadikan UMNO kuat selama-lamanya sifat setia atau wala’ seharusnya menjadi pegangan setiap ahli. Biar apa sekalipun cercaan dan tohmahan dilemparkan kepada Presiden parti, ia tidak sedikit pun mampu mengugat rasa setia saya kepada beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agong Wanita, Pemuda dan Puteri di PWTC pada Selasa.

Zahid yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden susulan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari jawatan tersebut turut menyeru kepada ahli-ahli UMNO agar tidak sekadar berwala’ hanya di bibir tetapi turut buktikan dengan tindakan.

“Dan ingatlah semua bahawa sekarang ialah waktu di mana Allah SWT meletakkan Datuk Seri Najib sebagai Presiden kita. Takdir Allah SWT mengkehendakinya begitu.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh perwakilan agar jangan sesekali berwala’ hanya di bibir. Wala’ saudara saudari sekalian haruslah juga pada perbuatan kerana itulah sebenarnya tuntutan dalam agama kita.

“Sesungguhnya sikap setia ahli kepada institusi kepresidenan membolehkan parti ampuh dan mampu menangkis setiap serangan sama ada dari luar dan mengekang pengkhianatan dari dalam,” katanya.

Zahid turut menyeru ahli parti supaya menjauhi golongan munafik yang hanya mementingkan diri sendiri dan bukannya kelangsungan parti.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri