Patuhi syor PAC, lembaga pengarah 1MDB tawar letak jawatan

Walaupun ianya keputusan sukar, mereka percaya tindakan berkenaan akan memudahkan sebarang siasatan susulan membabitkan syarikat pelaburan strategik Kementerian Kewangan itu.

“Walau bagaimanapun, berdasarkan hasil Laporan PAC tersebut, Lembaga Pengarah secara kolektif pagi ini telah memutuskan untuk menawarkan perletakan jawatannya kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), yang merupakan 100% pemegang saham 1MDB.

“Ini merupakan satu keputusan yang sukar untuk diambil tetapi kami percaya bahawa ini adalah langkah yang betul dalam situasi ini, bagi memudahkan sebarang siasatan susulan seperti yang dicadangkan oleh PAC,” kata mereka, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pada Khamis.

Lembaga pengarah 1MDB juga kata mereka telah berjaya membawa 1MDB melalui suatu tempoh unik yang mencabar dan percaya bahawa laporan PAC setebal 106 muka surat itu boleh menjadi titik pengakhiran dakwaan-dakwaan palsu ke atas syarikat berkenaan.

Mereka juga percaya bahawa ia telah menjalankan peranan dan tanggungjawabnya sebaik yang mungkin, termasuk pelaksanaan pelbagai langkah tadbir urus korporat seperti mewujudkan prosedur operasi standard (standard operating procedure) untuk syarikat dan menubuhkan jawatankuasa audit dan pengurusan risiko Lembaga Pengarah.

Di samping itu, Lembaga Pengarah juga kata mereka telah memastikan kerjasama penuh diberikan kepada semua pihak berkuasa yang sah yang menjalankan siasatan ke atas syarikat. Semua dokumen sokongan yang ada telah pun dikemukakan dengan sewajarnya.

“Lebih penting lagi, dana syarikat 1MDB telah diambil kira sepenuhnya dan tidak ada kes “RM42 bilion hilang”, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. 

“Juga telah disahkan, 1MDB tidak memindahkan RM2.6 bilion kepada akaun peribadi Perdana Menteri seperti yang telah didakwa,” kata kenyataan itu lagi.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri