Pasangan kekasih ditangkap bersama 3kg dadah

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Anuar Omar berkata, kedua-dua pasangan itu ditahan ketika menaiki motosikal dalam sebuah operasi di Sungai Tiram, Bayan Lepas kira-kira jam 9.40 malam tiga hari lalu.

“Bertindak dari maklumat awam, kita berjaya menahan sepasang kekasih berusia 51 dan 56 tahun ketika mereka sedang menaiki motosikal jenis Honda Wave. Selepas melakukan pemeriksaan, polis berjaya menemui tiga bungkusan plastik berwarna perak berisi beberapa ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 1.37 kilogram (kg).

“Selain itu, polis turut menemui dua bungkusan kertas yang mengandungi ketulan kristal disyaki syabu seberat 0.11 gram. Kita percaya, mereka dalam perjalanan untuk mengedar bekalan dadah itu kepada pembeli di sekitar negeri ini,” katanya kepada media di Balik Pulau pada Jumaat.

Menurutnya, selepas tangkapan berkenaan, polis kemudiannya ke rumah pasangan kekasih itu di Sungai Ara.

“Kira-kira jam 12.05 tengah malam (Khamis), kita menyerbu rumah mereka dan berjaya merampas lima paket plastik lutsinar dan enam keratan penyedut minuman yang berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 11 gram dan dua paket plastik lutsinar berisi ketulan disyaki syabu seberat 2.9 gram.

“Selain itu, polis turut menjumpai 30 biji pil disyaki pil eramin 5 seberat 15 gram dan empat paket plastik lutsinar berisi ketulan dadah jenis syabu seberat 64 gram,” katanya.

Anuar berkata, susulan daripada tangkapan itu, polis kemudiannya menahan seorang wanita berusia 51 tahun di sebuah rumah flat di Gelugor keesokkan harinya kira-kira jam 2 pagi, Khamis lalu.

“Selepas pemeriksaan, polis menemui tiga bungkusan plastik berwarna perak berisi ketulan disyaki heroin seberat 1.372 kg. Kita percaya, ketiga-tiga ini adalah kenalan dan merupakan pengedar serta penagih dadah berikutan ujian saringan air kencing mendapati positif dadah. Sepasang kekasih berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau manakala kenalan mereka tiada rekod jenayah.

“Jumlah keseluruhan dadah 2.95 kg yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM61,200. Turut disita sebuah kereta jenis Proton Wira, sebuah Proton Gen 2 dan wang tunai RM572 menjadikan nilai sitaan berjumlah RM40,572. Ketiga-tiga suspek yang tidak bekerja itu direman sehingga 10 Ogos ini untuk siasatan lanjut,” katanya. – Sinar Harian

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia