PAS tidak akan bersekongkol jatuhkan PM

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menegaskan, PAS tidak akan membenarkan lagi mana-mana pihak ‘memimpin’ parti itu dalam pakatan pembangkang.

Menurutnya, PAS sebelum ini telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak, namun tidak menghasilkan sebarang kesan positif kepada parti.

“Kamu (pakatan pembangkang) ajak kami berpadu, hendak tukar kerajaan, hendak ganti Perdana Menteri. Saya hendak kata kami tidak boleh terima. Dulu kami sudah cuba macam-macam, masuk dalam Barisan Nasional (BN), kemudian berpakat dengan pembangkang, semua tidak menjadi.

“Ada juga parti baharu ajak kita bersatu bagi membolehkan satu lawan satu (dalam pilihan raya) untuk menjamin kemenangan. Itu hendak ambil kira mudah sahaja,” katanya ketika menyampaikan cera­mah sempena Sambutan 26 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Dataran Medan Ilmu di Kota Bharu pada Jumaat.

Menurutnya, PAS tidak boleh lagi duduk di belakang dan membiarkan pihak lain ‘memimpin’ parti itu.

“Kita sudah tidak boleh lepas orang lain duduk depan, orang lain pimpin kita. Ini tidak betul. Kita sudah cuba bagi orang lain pimpin kita, tetapi tidak jadi. Kita kena jadi pemimpin, tidak ada orang ikut tidak apa, biarkan kita laksanakan apa yang Allah perintahkan,” katanya.

Sementara itu dalam sidang akhbar selepas ceramah tersebut Hashim berkata, Kerajaan PAS Kelantan dengan kuasa yang ada diharap dapat memimpin seluruh umat kembali kepada ajaran al-Quran.

“Apabila Islam didaulatkan, orang bukan Islam juga akan dapat menerima perjuangan kita dengan baik. Sekarang kita mesti ke depan, jangan harap orang lain, mereka tidak nampak lagi (membawa perjuangan Islam). Kita sudah ada jalan, saya harap dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya lagi, memetik laporan Utusan Online.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri