Kenyataan terbaru Hashim itu dilihat bakal memberikan gambaran positif kepada parti pembangkang, memandangkan blok itu mengalami pertambahan parti susulan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan mantan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hashim bagaimanapun berkata perkara itu terpulang kepada budi bicara parti-parti pembangkang yang lain termasuk DAP.
“Orang Islam wajib pegang kepada janji, kita tak boleh mungkir. Orang lain juga boleh bersama PAS, Umno pun kita buka tapi dengan syarat Islam mesti memimpin sebab kita dah bagi orang lain pimpin kita, tak sampai ke mana.
“Kita bersama dengan parti-parti dahulu, kita bertahaluf dan pernah masuk BN. Kita dah duduk dalam PR, semua itu mereka di depan (dominan) dan tak akan sampai kepada matlamat (PAS),” katanya, memetik laporan Sinar Online, hari ini.
Beliau berkata PAS sentiasa membuka pintu kerjasama dengan parti-parti lain dengan syarat penyatuan itu haruslah berlaku kerana Allah.
“PAS sentiasa membuka pintu untuk mana-mana parti bersama kita, tapi dengan syarat kita bersatu atas dasar agama Allah. Sebab dulu kita tak buat atas dasar itu, jadilah apa berlaku sekarang (Pakatan Rakyat bubar).
“Pengalaman memaksa kita meletakkan syarat dan ini mesti kita lakukan. Kalau mereka setuju, DAP pun boleh bersama. Seeloknya satu lawan satu, tapi kalau dah tak boleh jadi satu lawan satu, kita terpaksa empat lawan satu,” katanya.
“PAS Islam, Umno Islam, PKR pun kebanyakan Islam dan DAP pun ada orang Islam. Dalam erti kata lain kebanyakannya Islam. Sekarang al-Quran kata berpegang teguh dengan agama Allah.”
Beliau bagaimanapun berkata, PAS tidak akan menerima kerjasama tersebut sekiranya terdapat campur tangan dalam soal akidah.
“Kalau nak bersatu memang bagi pihak PAS pintu sentiasa terbuka pagi dan petang, tapi bersatu itu mestilah berdasarkan kepada agama Allah. Tak usah cari yang lain sebab tak akan berjaya
“Mari kita bersatu berdasarkan al-Quran. Bukan saya tak buka peluang, saya buka kepada DAP pun boleh bersama kita kerana Nabi pun pernah buat tahaluf selepas perjanjian Hudaibiyah. Antara syarat itu mereka tak boleh berperang dengan Nabi Muhammad selama 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata, seperti mana amalan Nabi Muhammad, baginda turut mengadakan perjanjian dengan kabilah-kabilah yang ingin mendapatkan perlindungan baginda.
“Ini perjanjiannya dan kalau ada antara mana-mana kabilah yang hendak bersama berlindung di bawah Nabi Muhammad untuk kerajaan Islam pun boleh. Kenapa kita nak tolak DAP? Mari, hukumnya boleh bertahaluf dengan syarat jangan ganggu al-Quran itu. Kamu dengan agama kamu, aku tak ganggu dan jangan kamu mengganggu agama kami,” katanya.