Kata Khairuddin, berdasarkan maklumat yang diterima pihaknya, Menteri Besar Selangor, Datuk Mohamed Azmin Ali telah membuat ugutan seperti yang didedahkan media sebelum ini.
Malah kata Khairuddin, Azmin terpaksa berbohong kepada media dan menafikan perkara itu.
“Azmin ‘terkantoi’ berbohong kepada wartawan, kononnya tidak pernah arahkan Exco PAS (Selangor) letak jawatan sedangkan memang ‘confirm’ dia (Azmin) arahkan Exco PAS meletakkan jawatan jika PAS terus bertanding di Sungai Besar,” katanya seperti dilapor FMT.
Menurut ahli Parlimen Kuala Nerus itu, tindakan Azmin menjadikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai ‘kambing hitam’ kerana Azmin telah ditekan oleh Pakatan Harapan dalam Deklarasi Rakyat dan juga isu calon di PRK Sungai Besar.
“Sesama Pakatan Harapan pun tekan dia (Azmin) dalam isu Deklarasi Rakyat. Pakatan Harapan tekan dia isu bertanding PRK Sungai Besar, jadi nak lepaskan diri dia ‘melibas’ semua orang termasuk Presiden PAS,” katanya.
Bagaimanapun, Khairuddin melahirkan rasa kesal dengan kenyataan terbaharu Azmin yang menyindir Abdul Hadi sebagai ketua yang tidak tahu isu dalam parti.
Tetapi memahami situasi yang sedang dihadapi Menteri Besar Selangor itu kata Khairuddin, PAS mengambil pendekatan memaafkan perbuatan Azmin itu.
“Kita maafkan Azmin atas ‘kecelaruan’ fikiran dia akhir-akhir ini,” ujarnya.